Thursday, November 25, 2010

MADAH HATI...


BERILAH KEMAAFAN itu. Begitu sukar, tetapi itulah yang menjadi penghalang kita menuju Allah. Sesuatu yang paling sukar itu sebenarnya “marhalah” yang paling sukar dalam jalan mujahadah kita. Ingat sahabat ku, teliti dengan sedalamnya apa yang paling sukar dan menusuk hatimu saat ini dan kebanyakkan saat-saat mu dalam kehidupan ini. Hingga terasa dalam hatimu, “kalaulah masalah@orang@perkara ini selesai… maka tenanglah hidup ku. Kenapa yang satu ini cukup mengganggu aku?”

Sebenarnya, itulah, dialah, perkara itulah… jika dapat diatasi berpandukan akidah, syariat dan akhlak yang baik, akan membawa kita jauh ke hadapan dalam perjalanan menuju Allah. Yang paling sukar itulah MAHAR cinta Allah. Allah letakkan mahar itu mungkin pada… manusia yang paling kau “benci”, mungkin pada perkara yang paling ingin kau lari daripadanya, mungkin kepada “penyakit” yang paling kau sedang hadapi kini atau apa-apa sahaja yang paling menekan, menyusahkan dan membimbangkanmu!

Sahabatku, jangan lari. Tetapi hadapi. Jangan mengelak , tetapi berdepanlah. Terimalah realiti walaupun pahit atau pedih amat. Itulah anak tangga yang kau mesti pijak untuk melonjak ke daerah tinggi. Jika kita lari, pasti anak tangga yang sama akan memburu dan menghantui kita dalam rupa yang berbeza tetapi mesejnya tetap sama. Kita tidak akan naik ke kelas atas, kita selamanya akan berada di kelas itu juga. Begitulah kata mereka yang arif, cara Allah mendidik kita dalam "universiti kehidupan" ini.

Temanku, dunia ini adalah sebuah sekolah. Kita di sini bukan untuk didera, tetapi untuk ditempa… dididik oleh MURABBI paling agung dengan mehnah (ujian), qada’ serta qadar-Nya. Pelajaran itu kekadang diletakkan Allah pada manusia lain, pada peristiwa, pada kejadian, pada penyakit, pada kegagalan, pada kejayaan… ya selamanya kita akan dididik. Berterus-terusan. Hingga layak kita menerima sekalung ijazah bernama Qalbun Salim (hati yang sejahtera).

Di mana kita dalam “Universiti Kehidupan” ini? Masih bertatih dalam “sekolah rendah” yang tidak pernah meningkat kelas? (masih mengeluh dan berontak bila diuji?) Atau masih di “sekolah menengah” yang masih terkial-kial menduduki peperiksaan yang sama tahun demi tahun? (kekadang tenang kekadang resah bila diuji) Atau paling malang masih diperingkat “tadika” yang masih tidak matang, alpa dan masih terus ingin bermain-main? Tidak teringinkah kita menjadi graduan-graduan  yang lulus pangkat pertama lalu melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan MA dan Ph.d? (Di situlah “bersemanyam”nya para sahabat Rasulullah dan para waliullah yang tersenyum bila diuji)

Aduh,begitu sahaja kita mengsia-siakan nikmat hidup..Ramadan yang hadir dulu telah pergi,tapi apa yang kita dapat?..apa yang kita belajar tentang ramadan yang lalu??Saidina Ali r.a berkata:puasa seseorang itu,hanyalah dapat menahan lapar dan dahaga sahaja...dan ibadat yang di lakukan di malam hari hanyalah mendapat keletihan di siang hari kerana tidak tidur sepanjang malam..(apa maksud tersirat disebaliknya,sama-samalah kita berfikir wahai sahabatku)..Saat ketika ramadan ingin meninggalkan kita,di mana sahabatku ketika itu??..dimana para remaja ketika tu?..surau dan masjid menjadi lengang,setiap orang yang hadir dapat dikira dengan jari..Itu hanyalah di bulan ramadan,tapi di bulan-bulan yang lain,bagaimana??..


 Ketika para Salafussoleh membawa kurnia keampunan dan cinta yang begitu tinggi dan indah apa yang kita bawa untuk diri ini? Ya, Allah… pada kami hanya ada takut dan harap. Takut kemurkaan-Mu. Harap keampunan-Mu..-ini hanyalah peringatan dan madah hati dari seorang sahabatmu-

Wednesday, November 24, 2010

SOLAT ITU BUANG MASA?

Ustaz Hashim sedang memberikan taklimat awal kepada para peserta kursus Modul Solat yang dijalankan oleh saya dan teman-teman di Fitrah Perkasa
Malam ini saya di UIA Kuantan, untuk berkongsi ilmu dengan saudara/i kita di sana dalam tajuk: MUKMIN PROFESIONAL. Mudah-mudahan Allah akan permudahkan untuk meuar-uarkan gagasan ini.
Mukmin Profesional  yang telahpun dijalankan dalam bentuk program dan modulnya sejak 7 atau 8 tahun yang lalu di pelbagai agensi korporat oleh Fitrah Perkasa Sdn Bhd. adalah satu proses “rebranding” (penjenamaan semula) imej umat Islam yang negatif di mata dunia.

SOLAT ITU  BUANG MASA?
“Mengapa orang Islam banyak buang masa untuk bersembahyang?” Anda terkejut? Sudah tentu. Ini adalah soalan yang jarang kita dengar. Soalan ini ditanyakan pada saya lebih kurang 15 tahun yang lalu ketika berada di Jepun. Ia diajukan oleh pelajar-pelajar Jepun yang melihat pelajar-pelajar Malaysia solat lima waktu sehari semalam.
Sebelum menjawab soalan ini, saya menyoal kembali pelajar-pelajar Malaysia yang hadir dalam majlis usrah itu:
“Mengapa soalan seumpama ini ditanyakan ketika kamu di sini, tidak di Malaysia?”
Seorang pelajar menjawab, “kerana mereka jarang melihat orang solat.”
Yang lain menjawab, “mereka menyembah berhala mereka sekali-skala. Tidak sekerap dan selama kita umat Islam.”
Saya senyum. Pelajar-pelajar itu berminat sungguh untuk mendalami Islam. Mereka mendekati Islam lebih serius berbanding ketika mereka di Malaysia dahulu. Ketika di perantauan, ramai yang kembali gigih menghayati agama sebagai perisai diri daripada kejutan budaya dan godaan persekitaran yang terlalu mencabar.
“Ada sebab lain?” tanya saya sekadar mengundang reaksi. Mereka diam. Mungkin terus berfikir.
“Orang Jepun sangat menghargai masa. Pengurusan masa mereka sangat efisien. Majoritinya tidak membuang masa…” kata saya meluahkan hasil pemerhatian secara rambang. Memang, ketika di dalam kereta api kebanyakan mereka membaca. Buku-buku dan komik banyak tersusun di bahagian atas syiling kereta api.
“Jadi bagi orang Jepun yang tidak membuang masa, 5 ke 10 minit yang kita luangkan untuk mengerjakan satu waktu solat dirasakan telah membuang masa. Sebab itu mereka bertanya, mengapa kita membuang masa. Sebab itu soalan itu timbulnya di kalangan orang Jepun. Kenapa tidak di kalangan orang kita di Malaysia? ”
“Sebab orang kita masih ramai yang membuang masa,” jawab seorang pelajar secara spontan.
Saya senyum, sambil mengangguk kepala. Bagi orang yang banyak membuang masa, apalah ertinya 5 atau 10 minit untuk solat. Bagi mereka yang suka melepak, berbual kosong, berlegar-legar di pusat membeli-belah sampai berjam-jam apalah harga masa yang sebanyak itu. Tidak jadi kudis. Namun tidak bagi orang Jepun, masa beberapa minit untuk aktiviti yang tidak penting (termasuk solat – pada pandangan mereka) sangat membazir masa.
“Apa yang saudara jawab?” tanya saya menduga. Gembira melihat mereka tercabar begitu. Kekadang kecintaan dan kefahaman kita terhadap Islam hanya timbul dengan adanya cabaran dan perlecehan.
“Susah nak jawab sebab Allah perintahkan kita. Mana mereka boleh terima jawapan yang begitu.”
“Perlu dijawab begitu. Sebab Allah, Tuhan kami perintahkan begitu.”
“ Tapi kalau ditanya lagi apa sebabnya Tuhan kamu perintahkan begitu?”
“Jawablah, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya daripada hamba itu sendiri,” jawab saya.
“Mungkin mereka terima jawapan dari perspektif kita. Tapi bagaimana kalau kita nak jawab yang logik dan rasional mengikut perspektif mereka?” tanya seorang penuntut tahun akhir kejuruteraan elektrik (seingat saya).
Bagus soalan itu. Saya memang menantikan respons yang lebih kritikal dan berani.
“Tanyakan mereka, apa yang kamu buat untuk memastikan alat-alat teknologi kamu dalam keadaan yang baik? Bukankah kamu sentiasa menyelenggarakannya? Lebih canggih alat teknologi kamu, maka semakin kerap kamu menyelenggarakannya. Kamu sentiasa buat “maintanance” kapal terbang, kereta api elektrik (“bullet train”) dan kereta kamu…” terang saya.
Pelajar-pelajar yang berjumlah 20 orang itu tidak berganjak. Hawa musim dingin kota Ibaraki itu sekali-sekala mencuri masuk melalui regangan tingkap yang terbuka. Nyaman.
“Kemudian tanyakan mereka siapa yang lebih canggih, alat-alat atau jentera teknologi yang dicipta itukah atau pun manusia yang menciptanya?”
“Tentulah manusia,” jawab mereka hampir serentak.
“Nah, kalau begitu tanyakan mereka, kalau kamu sering malah sentiasa selenggarakan alat-alat teknologi yang canggih, mengapa kamu tidak selenggarakan diri kamu yang lebih canggih?
“Mereka akan tanya, bagaimana nak selenggarakan diri kami?”
“Itu kami tidak pasti. Tetapi bagi kami orang Islam, solat adalah cara kami “maintenance” diri kami. Malang sekali kalau kamu hanya menyelenggarakan alat-alat teknologi kamu tetapi kamu lupa menyelenggarakan diri kamu sendiri.”
“Kalau mereka bertanya apakah yang dimaksudkan dengan menyelenggarakan diri pada seorang manusia?”
“Seorang itu dikatakan menyelenggarakan dirinya jika ia membersihkan hati, menstabilkan emosi dan menenangkan fikirannya. Inilah yang berlaku dalam solat yang sempurna. Seorang itu mengadu, merayu, merintih dan menyerahkan kembali segala kegalauan, keresahan dan keserabutan jiwanya kepada zat yang mampu dan mahu menyelesaikan segala-galanya. Siapa lagi kalau bukan kepada Allah!”
“Orang yang solat tidak akan sakit jiwa. Stres dan tekanan emosinya terkawal,” sampuk seorang pelajar di barisan belakang.
“Sebab itu orang Islam tidak bunuh diri walau bagaimana besar sekali pun masalah yang mereka hadapi,” tambah yang lain.
“Tidak seperti orang Jepun, kadar membunuh diri di kalangan mereka tinggi!”
“Dan ketika itulah mereka mungkin boleh disedarkan betapa solat yang beberapa minit itu bukan sahaja tidak membuang masa bahkan sangat penting sekali dalam kehidupan seorang manusia,” ujar saya sebagai satu kesimpulan.
SOLAT ITU SOAL PERIBADI?
Itu kisah orang Jepun yang bukan Islam. Sekarang mari kita ikuti kisah orang Islam sendiri dengan solat.
“Maaf, solat ini soal peribadi. Siapa yang nak buat sila, dah ada surau pun dalam bangunan ini. Siapa yang tak mahu, tak boleh paksa. Itu hal masing-masing.”
“Ya, solat tidak boleh dipaksa. Tetapi kita sebagai saudara seIslam, wajib mengingatkan. Dan saya ingin mengingatkan saudara, solat bukan soal peribadi,” tekan saya.
“Mengapa?”
“Solat itu mencegah seseorang dari kejahatan dan kemungkaran.”
“Itu saya tahu. Solat boleh mencegah kemungkaran. Saya pun selalu juga dengar kuliah-kuliah Subuh. Tapi ini dalam syarikat, kita tak perlu mengulang input-input dalam kuliah Subuh tu. Di sini kita bekerja, kita berniaga…”
“Tuan, masa kita berniaga dan bekerjalah selalunya godaan dan cabaran datang. Banyak kemungkaran dalam berniaga dan bekerja,” tusuk saya perlahan.
“Kemungkaran dalam kerja? Apa tua?”
“Ponteng, curi tulang, rasuah, melawan atasan, menindas bawahan, umpat, adu domba dan sebagainya. Kemungkaran ini bukan soal peribadi. Jika seorang melakukannya, ia memudaratkan yang lain. Lama-kelamaan ia berjangkit menjadi budaya yang negatif dalam syarikat. Ini akan menjejaskan operasi dan perjalanan syarikat secara keseluruhan.”
“Kita sudah ada undang-undang dan disiplin organisasi. Itu sebagai kawalan untuk anggota kita tidak melakukan penyelewengan.”
“Undang-undang mencegah kemungkaran dari luar tetapi solat mencegah kemungkaran dari dalam. Kita perlukan kedua-dua pendekatan. Bahkan dalam apa jua keadaan pencegahan dari dalam itu yang lebih berkesan.”
“Kenapa?” tanyanya sepatah-sepatah. Pengurus bahagian sumber manusia itu masih tidak yakin betapa pentingnya kursus pemantapan solat dilaksanakan dalam organisasi itu. Sejak dari tadi saya terkial-kial untuk meyakinkan orang Islam sendiri tentang kaedah Islam mencegah penyelewengan dan salah laku dalam syarikatnya.
“Sebab solat akan membina rasa takut, cinta dan patuh kepada Allah. Orang yang begini akan meninggalkan kejahatan dengan kerelaan hati sendiri. Ataupun jika mereka tersalah, mereka akan segera bertaubat.”
“Ah, apa pula pihak atasan kata nanti. Kita anjurkan kursus solat pula, sedangkan selama ini kita giat menjalan kursus-kursus yang memberi kemahiran profesional kepada anggota-anggota kita,” katanya berterus-terang.
“Orang atasan tidak mahukah melihat orang-orang bawahan dan seluruh kakitangan syarikat ini jadi baik? Solat sangat penting untuk membentuk manusia jadi baik.”
Dia merenung muka saya lalu berkata,”tetapi kalau baik sahaja tetapi tak tahu bekerja, buat apa?”
“Dan kalau tahu buat kerja sahaja tetapi tidak jujur, buat apa?” balas saya.
Setelah melihat dia diam, saya menambah, “sebenarnya kita perlu kedua-keduanya sekali. Pemantapan solat pun perlu, peningkatan kemahiran profesional pun perlu. Alangkah baiknya jika kedua-duanya dilaksanakan secara bersepadu dalam syarikat ini. Kita tidak ada masalah, bukankah seluruh kakitangan syarikat ini beragama Islam?”
“Kos… kos dan peruntukan latihan akan bertambah,” balasnya.
Kali ini saya pula terdiam.
“Tuan, untuk program latihan kemahiran kita rela berbelanja besar. Mengapa untuk program pemantapan nilai-nilai Islam ini kita terlalu berkira?”
“Itu soal pihak atasan…” kilasnya.
“Tuan, di atas pihak atasan ini ada yang lebih atas lagi. Allah akan bertanya kepada kita, apa yang kita laksanakan untuk mendidik orang bawahan kita. Syarikat hakikatnya sebuah institusi. Kita akan ditanya oleh Allah tentang orang di bawah pimpinan kita. Bukan soal makan-minum dan kebajikan lahiriah mereka sahaja, tetapi juga soal iman dan Islam mereka.”
“Baik tu baik. Tetapi…”
“Tuan, jika syarikat terlalu berkira dalam soal-soal tarbiah begini, saya khuatir penyelewengan, rasuah, curi tulang dan lain-lain sikap negatif yang tuan katakan mula merebak dalam syarikat ini akan bertambah kronik. Pembaziran dan penyelewengan akan memporak-perandakan operasi. Produktiviti dan kualiti akan menurun. Penjualan juga akan merosot. Pembaziran berleluasa. Rasuah pula akan menyebabkan ketirisan wang yang bukan sedikit! Ini menelan kos yang lebih berbanding kos pendidikan,” pujuk saya.
Dia termenung. Sambil menepuk-nepuk tangannya ke meja dia berkata, “insya-Allah, nantilah akan saya fikirkan dulu.”
Saya menarik nafas. Begitulah cabaran dalam berdakwah. Setelah berhujah, kita perlu pasrah menyerah kepada Allah, pohon taufik dan hidayah-Nya. Apa pun benarlah seperti yang selalu diungkapkan, Islam adalah agama yang paling banyak disalah tafsirkan, bukan sahaja oleh orang bukan Islam…. tetapi oleh orang Islam sendiri.
Di Jepun, di Malaysia atau di mana sahaja, Islam sering disalah tafsirkan. Namun jangan pesimis atau kecewa. Itu bermakna peluang dan ruang untuk dakwah sentiasa terbuka!

BELAJAR DARI CICAK

cicak
© copyright 1999-2008 Getty Images, Inc. All rights reserved.
Aneh sekali, makanan cicak ialah serangga yang boleh terbang. Lalat, kumbang kecil dan lain-lain yang mempunyai kepak. Kalau difikirkan secara logik, mana mungkin cicak yang hanya ada kaki yang melekap di dinding dan di syiling itu mampu ‘memburu’ mangsanya yang boleh terbang. Tentulah begitu sukar bukan? Bukankah lebih sesuai jika Allah kurniakan untuk cicak sepasang sayap yang juga mampu terbang  bagi memburu mangsanya? Barulah adil.
Tapi Allah SWT Maha Mengetahui, sungguhpun cicak tidak dikurniakan sayap tetapi Allah kurnikannya lidah yang panjang, mata yang tajam dan kecekapan yang luar biasa untuk mendapat rezkinya. Seolah-olah cicak tidak ‘mengeluh’ kerana tidak bersayap, sebaliknya menggunakan lidah, mata dan kakinya dengan penuh kesungguhan untuk mencari rezki. Secara mudah, bolehlah dikatakan cicak tidak fokus pada kekurangannya, sebaliknya berfokus pada kelebihannya. Hasilnya, cicak tetap dijamin rezekinya.
Anak-anak juga perlu belajar daripada kegigihan cicak ini. Sebagai manusia, kita juga ada kelebihan, dan kita juga ada kekurangan. Untuk berjaya kita perlu tumpukan pada kekuatan kita. Mungkin kita pelajar miskin, tapi itu bukan penghalang untuk berjaya. Tumpukan pada kerajinan kita. Mungkin fizikal kita agak lemah, tetapi pertajamkanlah fikiran kita. Mungkin kita anak yatim, tetapi kita masih boleh membina hubungan yang baik dengan ibu saudara, bapa saudara, guru-guru dan teman-teman kita. Tegasnya, jangan jadikan kekurangan sebagai satu alasan… tetapi tukarkan ia menjadi satu kelebihan!    
Jadi bila anak-anak melihat cicak, jangan pandang begitu sahaja. Jangan hanya melayan imiginasi minta diberi sepasang kaki dan tangan seperti cicak… sedarlah kita lebih mulia daripada cicak. Sebaliknya pandang kelebihan yang ada pada kita manusia. Pandanglah kekuatan kita sebagai seorang individu yang punya pelbagai keistimewaan. Allah Maha Kaya, pasti ada kelebihan pada setiap manusia yang diciptakan-Nya termasuk diri kita. Ingatlah ungkapan yang berbunyi:
“Tuhan tidak mencipta manusia bodoh. DIA hanya mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza.”

Friday, November 19, 2010

DEMONSTRASI MELALUI SOLAT SUBUH BERJEMAAH?

ethiopia_muslim_boy_islam_by_ademmmDalam buku Misteri Solat Subuh karangan Dr. Raghib As Sirjani menukilkan, “pernah salah seorang penguasa Yahudi menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali satu hal berlaku yakni bila jumlah jemaah solat Subuh menyamai jumlah jemaah solat Jumaat.”

Atas dasar apa dia berkata demikian, tidak pula dinyatakan secara pasti. Namun jika kita sendiri melihat situasi ini lebih dekat, ada logik dan kebenarannya.

Pada tahun 80’an, sewaktu masih menuntut di universiti, terjadi satu tragedi besar dalam dunia Islam. Tentera Soviet Union (yang belum berpecah seperti sekarang) telah menyerang Afghanistan. Pada ketika itu Nur Muhammad Taraki, Babrak Karmal (seingat saya) dan lain-lain tali barut komunis telah menjadi musuh yang “menjemput” tentera Rusia menjajah Tanah Air mereka sendiri. Pelajar-pelajar Islam di universiti tempatan ketika itu telah bangun melancarkan demonstrasi.

Saya masih ingat bagaimana ucapan berapi-api daripada para pemimpin pelajar ketika itu telah membakar emosi dan menimbulkan rasa marah yang amat sangat kepada Komunis Rusia. Bendera Soviet, patung Breznev dan Babrak Karmal telah dibakar. Ucapan yang berapi-api telah disambut oleh jeritan, “Allah hu Akbar! Allah hu Akbar!” telah bergegar di padang tempat kami melakukan tunjuk perasaan.

Rasa-rasanya, kalau dilihat pada semangat yang memuncak, bagaikan semua telah bersedia untuk dihantar ke Afghanistan untuk membantu Mujahidin (waktu itu belum ada Taliban) bagi melancarkan jihad. Bilangan pelajar Islam yang berdemonstrasi saya rasa hampir mencecah ribuan orang.  

Keesokan harinya, sewaktu solat Subuh di surau kolej kediaman, saya dapati hanya beberapa kerat pelajar yang datang untuk solat berjemaah. Sangat minoriti, tidak sampai satu saf pun. Ke mana perginya mereka yang bersemangat berapi-api semalam? Tidak ada laungan Allah hu Akbar lagi sekalipun untuk sekadar bertakbiratul Ihram. Dan paling aneh, para pemimpin pelajar yang hebat berpidato itu pun tidak muncul-muncul.

Cuba fikirkan mengapa terjadi demikian? Akan gerunkah musuh Islam kepada umat yang tidak solat Subuh berjemaah ataupun tidak bangun Subuh langsung? Pada hal demonstrasi hakiki yang benar-benar menggerunkan musuh (berdasarkan pengakuan penguasa Yahudi sendiri) ialah solat Subuh secara berjemaah yang dilakukan oleh majoriti umat Islam.

Tidak salah membakar bendera negara yang menzalimi umat Islam, tetapi alangkah baiknya jika kita terlebih dahulu “membakar” selimut syaitan yang menghalang kita bangun untuk solat Subuh berjemaah? Tidak salah bertempik dan bertakbir bagi menunjukkan kemarahan kita terhadap musuh Islam, tetapi alangkah baiknya jika suara itu digunakan juga untuk bertabiratul Ihram dalam solat Subuh secara berjemaah?

Hemm, mampukah orang yang “liat” bangun Subuh berjemaah demi cintanya kepada Allah berangkat ke medan jihad untuk memerangi musuh Allah??

Ada tokoh yang hebat yang begitu menarik kata dan ucapannya tentang Islam… begitu indah, bersemangat dan menyentuh. Tetapi apakah ertinya jika dia melazimi tidak hadir ke masjid untuk berjemaah Subuh? Atau figur ekonomi Islam yang berjaya membentang segala perancangan dan strategi muamalat Islam tetapi liat melangkah kaki menyertai solat Subuh berjemaah. Atau seorang yang begitu menonjol sekali dalam melahirkan produk-produk serta perkhidmatan Islam, tetapi hanya “kadang-kadang” dan “jarang-jarang” menyertai solat berjemaah Isyak dan Subuh!

Marilah kita renungi dua hadis ini:
1. Rasulullah saw telah bersabda:
“Barangsiapa yang solat Isyak berjemaah maka seakan-akan dia telah solat separuh malam. Dan barang siapa solat Subuh berjemaah (atau dengan solat Isyak seperti yang tertera dalam hadis Abu Daud dan Tirmizi) maka seakan-akan dia telah melaksanakan solat malam semalam penuh.” (HR Muslim).
2. Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya dua solat ini (Subuh dan Isyak) adalah solat yang berat bagi orang munafik. Sesungguhnya, apabila mereka mengetahui apa yang ada dalam solat Subuh dan Isyak, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” (HR Ahmad dan An Nasai’)

Monday, November 15, 2010

BUNGA YANG CANTIK JARANG HARUM…

88808027Wanita sinonim dengan kecantikan. Istilah “cermin” dalam bahasa Arab dekat sangat dengan wanita – kerana cermin itu dekat pula dengan kecantikan. Bercermin untuk kelihatan cantik. Ke mana-mana wanita pergi, cermin ada di sisi.
Bagi yang tidak cantik bagaimana? Mereka bukan wanita?
Tunggu dulu, setiap yang Allah cipta pasti indah kerana Allah itu Maha Indah dan suka pada keindahan. Tuhan tidak mencipta manusia hodoh, Tuhan hanya mencipta manusia dengan kecantikan berbeza. Jadi, ingat itu… setiap wanita berhak untuk cantik!
Soalnya, di manakah letaknya kecantikan sebenar pada seorang wanita? Kalau kita tanyakan kepada para lelaki maka sudah pasti kita akan temui pelbagai jawapan. Ada yang merasakan kecantikan wanitaitu pada wajah, pada bentuk tubuh, pada kebijaksanaan atau pada tingkah lakunya.
Dan pada yang menyatakan kecantikan pada wajah pula terbahagi kepada pelbagai pandangan, ada yang mengatakan kecantikannya terletak pada hidung, pada mata dan sebagainya. Pendekata kecantikan itu bagi anggapan sesetengah orang sangat relatif sifatnya. Lain orang, lain penilaiannya.
Namun sebagai seorang Islam, kita tentulah ada kayu ukur tersendiri untuk menilai kecantikan. Kita tentunya mengukur kecantikan wanita mengikut kayu ukur Islam. Dan tentu sahaja kecantikan yang menjadi penilaian Islam adalah lebih hakiki dan abadi lagi.
Misalnya, kalaulah kecantikan itu hanya terletak pada wajah, wajah itu lambat-laun akan dimakan usia. Itu hanya bersifat sementara. Apabila usia meningkat, kulit akan berkedut tentulah wajah tidak cantik lagi. Jadi tentulah ini bukan ukuran kecantikan yang sejati dan abadi.
Sebagai hamba Allah, kita hendaklah melihat kecantikan selaras dengan penilaian Allah atas keyakinan apa yang dinilai oleh-Nya lebih tepat dan betul. Apakah kecantikan yang dimaksudkan itu? Kecantikan yang dimaksudkan ialah kecantikan budi pekerti ataupun akhlak. Itulah misi utama kedatangan Rasulullah SAW – untuk menyempurnakan akhlak manusia.
Kecantikan akhlak jika ada pada seseorang, lebih kekal. Inilah kecantikan yang hakiki mengikut penilaian Allah. Hancur badan dikandung tanah, budi baik di kenang juga.  Kecantikan akhlak ini juga adalah satu yang lebih abadi. Kata pepatah lagi, hutang budi dibawa mati. Malah akhlak yang baik juga sangat disukai oleh hati manusia. Contohnya, kalaulah ada orang yang wajahnya sahaja cantik tetapi akhlaknya buruk, pasti dia akan dibenci.
Ya, mata menilai kecantikan pada rupa. Akal menilai pada fikiran. Nafsu menilai pada bentuk tubuh. Tetapi hati tentulah pada akhlak dan budi. Kecantikan akhlak ini diterima oleh semua orang. Katalah orang jujur, siapapun suka. Semua orang sepakat menyayangi orang yang jujur itu disukai. Sedangkan jika menurut ukuran rupa, penilaian manusia tetap tidak sama. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan, ‘beauty in the eye of beholder’.
Rasulullah saw juga telah pernah menegaskan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. Wanita solehah ialah perhiasan rumah-tangga, perhiasan masyarakat dan perhiasan negara. Jika ada ibu yang solehah, anak-anaknya tentu mendapat manfaat. Mereka akan terdidik dengan baik.
Jika ada isteri yang solehah, suami pun akan mendapat manfaat. Para isteri ini akan memudahkan urusan rumah-tangga, menjalinkan hubungan keluargha dengan penuh kasih-sayang dan lain-lain. Tuturkatanya baik, tingkah lakunya baik, senyumannya menawan dan segala-galanya indah… mereka bayangan bidadari syurga di dunia ini.
Kenapa banyak wanita yang memiliki kecantikan tetapi musnah hidupnya? Ada ungkapan yang berbunyi, kemusnahan akan menimpa bilawanita mula merasai dirinya cantik dan mempamirkan kecantikan. Sejauhmana benarnya, wallahua’lam. Tetapi apa yang pasti, menurut Islam jika kecantikan tidak disertai iman yang kuat, maka pemiliknya akan hilang kawalan diri. Akibatnya ramai wanita cantik diperdayakan oleh syaitan untuk menggoda manusia melakukan kemungkaran. Lihatlah di sekeliling kita. Kata orang, bunga yang cantik jarang yang harum! Ini sudah menjadi sesuatu yang lumrah.
Tanpa iman, kecantikan akan dipergunakan ke arah kejahatan dan kemaksiatan, yang akhirnya akan memusnahkan diri pemiliknya dan orang lain. Cuba kita lihat apa yang terjadi kepada bintang filem barat (di sinipun apa kurangnya), ada yang memporak-perandakan negara, rumah-tangga dan berakhir dengan sakit jiwa dan bunuh diri.
Cantik tidak salah, tetapi salah menggunakan kecantikkan itulah yang salah. Kata orang, wanita yang cantik jarang berakhlak. Umpama bunga yang cantik, jarang yang wangi. Tetapi kalau cantik dan berakhlak pula, inilah yang hebat. Umpama cantiknya wanita solehah pada zaman nabi seperti Siti Aishah RA, Atikah binti Zaid dan lain-lain.
Bagaimana mendapat kecantikan sejati? Perlu kita faham kecantikan itu bermula dari dalam ke luar. Bukan sebaliknya. Oleh itu pertama, tanamkan di dalam hati kita iman yang benar-benar kuat berdasarkan ilmu yang tepat dan penghayatan yang tinggi. Iman itu keyakinan, kasih sayang, kemaafan, sangka baik dan reda. Rasa-rasa ini buktikanlah dengan perbuatan yang baik. Bila hati baik, wajah akan sentiasa cantik.
Jadi perkara kedua ialah susulilah iman itu dengan perbuatan yang baik. Ertinya, kita atur kehidupan mengikut syariat atau peraturan Tuhan. Dan apabila iman ditanam, syariat ditegakkan, akan berbuahlah akhlak yang mulia. Wajah, perilaku dan peribadi kita akan nampak cantik sekali. Inilah yang dikatakan kecantikan yang hakiki. Biar buruk rupa, jangan buruk perangai. Apa gunanya mulut yang cantik kalau kita gunakan untuk mengumpat?
Ya, kecantikan akhlak… boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja, oleh yang rupawan mahupun yang hodoh. Itu bukti keadilan Allah yang mencipta wanita dengan berbagai wajah dan rupa… tapi peluangnya untuk “cantik” tetap serupa!

Sunday, November 14, 2010

JANGAN MARAH…

86211623Bagaimana rasa kita bila mulut yang pernah kita suap tiba-tiba menggigit kita? Atau bila seorang yang lemah lembut kononnya datang hendak membantu kita  tetapi punya seribu satu rencana rahsia untuk menjatuhkan kita? Atau dia yang begitu memuji memuja bila berhadapan mata tetapi menikam dengan belati umpatan dan celaan ketika di belakang kita? Atau kita  berdepan dengan “pelakon” handalan yang pandai sekali bermuka-muka tetapi penuh dengan strategi dan dendam untuk menghancurkan keperibadian atau karier kita? Jawabnya… JANGAN MARAH!

Kemarahan kita kepada seseorang akan memudaratkan kita sendiri lebih daripada orang yang kita marahkan. Justeru, memaafkan adalah langkah yang paling baik – bukan sahaja untuk orang lain tetapi untuk diri kita sendiri. Ertinya, memaafkan orang lain samalah seperti memaafkan diri sendiri. Diri kita akan menjadi lebih tenang, ceria dan stabil apabila memaafkan ’musuh-musuh’ kita.

Menurut ajaran Islam kemarahan berasal daripada syaitan, dan syaitan berasal daripada api. Api itu panas dan membakar. Bahangnya akan menyebabkan pertimbangan hati, akal dan perasaan kita tidak seimbang – sepertimana molekul cecair atau gas apabila dipanaskan. Malah, ada kesan biologi yang negatif apabila kita marah – degupan jantung, aliran darah, retina mata dan rembesan hormon berubah daripada biasa. Muka menjadi merah, telinga menjadi panas, gigi serta bibir mengetap… Benarlah seperti yang dianjurkan oleh Imam Ghazali apabila seseorang itu marah ” pandang betapa hodoh wajahmu di muka cermin!”

Namun, siapakah yang tidak pernah marah? Marah itu sebahagian daripada sifat tabi’e manusia. Tanpa marah, manusia bukan manusia lagi. Justeru, marah itupun satu anugerah. Dengan adanya sifat marah, timbullah semangat mempertahankan diri, keluarga bahkan agama. Ringkasnya, marah itu ada yang terpuji, ada yang dikeji. Marah yang terpuji bila sesuai pada tempat, sebab dan keadaannya.

Bila agama dikeji, kita mesti marah. Ketika itu jika kita tidak marah, Allah akan marahkan kita. Sebaliknya, bila diri peribadi kita yang dikeji, dianjurkan supaya bersabar. Ini soal personal. Memaafkan, lebih utama. Sayangnya, hal yang sebaliknya selalu berlaku. Bila agama dikeji, kita selamba. Bila diri dikeji, marah kita seakan menggila.

Bagaimana kita boleh menteladani Sayidina Ali r.a. yang masih mampu membezakan ’jenis’ marahnya di saat kritikal? Ketika dia diludah oleh musuhnya sewaktu hendak memancung kepala musuh tersebut, Sayyidina Ali tiba-tiba berhenti justeru merasakan marahnya bukan lagi atas semangat jihad fisabilillah tetapi oleh kebencian melulu yang lebih bersifat personal.

Termasyhur kata-kata ahli rohani, jika diri dikeji… telitilah, muhasabahlah, apakah kejian itu sesuatu yang benar dan tepat? Jika benar dan tepat, kejian itu mesti dilihat sebagai ’teguran’ daripada Allah melalui lidah manusia. Koreksi dan perbaikilah diri segera. Namun sekiranya kejian itu tidak benar, apa hendak dirisaukan? Bukan manusia yang menentukan mudarat dan dosa. Biarkan ia berlalu, jangan takut kepada orang yang mencerca!

Namun itu tidak bermakna kita jumud hingga merelakan diri untuk sewenang-wenaangnya diperkotak-katikkan. Kesabaran perlu diiringi kebijaksanaan. Tabah bukan mendedahkan diri untuk difitnah. Tanganilah, hadapilah, kejian yang salah dengan cara yang betul. Hadapi emosi sipengeji yang panas berapi dengan kepala sedingin salji.

Jadikanlah kemarahan itu sebagai ’pekerja’ dan diri kita sebagai ’majikan’nya. Biarlah marah yang bekerja untuk kita, bukan kita yang bekerja untuknya. Jadi, mula-mula, tuluskanlah marahmu hanya kerana Allah semata. Kemudian luruskanlah marah itu pada jalan yang dibenarkan-Nya sahaja. Kemudian uruskanlah marahmu mengikut kadar dan batasnya…

Jadikanlah marah umpama api di dapur hatimu. Panasnya, biar berpadanan. Jangan terlalu kecil, hingga tindakan mu kelihatan ’mentah’. Jangan pula keterlaluan hingga peribadimu hangus terbakar!

BELAJAR ILMU IKHLAS

76c0e34e9552e7a7ffdc5d790f133d06“Mari ku ajarkan mu tentang ikhlas,” kata seorang guru kepada muridnya.
“Nanti saya ambilkan buku dan pena untuk menulisnya.”
“Tak payah, bawa sahaja karung guni.”
“Karung guni?” soal anak muridnya, seperti tidak percaya.
“Mari kita ke pasar!”
Dalam perjalanan ke pasar mereka berdua melalui jalan yang berbatu-batu.
“Kutip batu-batu yang besar dan masukkan ke dalam guni yang kau bawa itu,” kata guru itu memberi arahan.
Tanpa soal, anak muridnya memasukkan batu-batu besar yang mereka temui sepanjang jalan.
“Cukup?”
“Belum, isi sampai penuh karung guni itu. Lebih banyak lebih baik.”
Sampai di pasar, mereka berdua tidak membeli apa-apa pun. Gurunya hanya berlegar-legar, melihat-lihat dan kemudiannya mula beredar ke luar.
“Tok guru, kita tidak beli apa-apa kah?”
“Tidak. Bukankah karung guni mu telah penuh?”
“Ya, ya…” kata murid itu sambil memikul guni yang berat itu kelelahan. 
“Banyak beli barang,” tegur seorang kenalan apabila melihat anak murid itu memikul guni yang berisi penuh dengan batu-batu.
“Wah, tentu mereka berdua ini orang kaya. Banyak sungguh barang yang mereka beli,” bisik orang lalu-lalang apabila melihat guru dan anak murid tersebut.
“Agaknya, mereka hendak buat kenduri dengan barang-barang yang banyak itu,” kata orang yang lain.
Sampai sahaja di tempat tinggal mereka, murid tadi meletakkan guni yang berisi batu-batu tadi.
“Oh, letih sungguh… apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni Tok?”
“Tak buat apa-apa.”
“Eh, kalau begitu letih sahajalah saya,” balas anak murid.
“Letih memang letih, tapi kamu dah belajar tentang ikhlas…”
“Bagaimana?” tanya anak murid itu kehairanan.
“Kamu dah belajar apa akibatnya tidak ikhlas dalam beramal.”
“Dengan memikul batu-batu ini?”
“Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riyak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan tetapi hanya batu-batu…”
“Amal yang tidak ikhlas umpama batu-batu ini?”
“Ya, hanya beratnya sahaja yang terpaksa ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat, hanya penat…”
“Ya, sekarang saya sudah faham apa akibat jika beramal tetapi tidak ikhlas!” ujar murid itu. Sekarang dia sudah faham apa akibatnya RIYAK dalam beramal.
Pengajaran:
Ramai manusia tertipu dalam beramal kerana mengharapkan pujian orang. Padahal kata pujian daripada orang-orang itu tidak akan memberi manfaat pun kepadanya pada hari akhirat. Malah, mengharap pujian daripada manusia hanya akan menyebabkan diri terseksa kerana terpaksa hidup dalam keadaan yang bermuka-muka. Rugi benar orang yang tidak ikhlas, terseksa di dunia, terseksa di akhirat.

Saturday, November 6, 2010

GELAP DALAM LIMPAHAN CAHAYA

“Bagaimana pandangan awak tentang remaja kita yang terlanjur?”
“Apa maksud terlanjur?” saya menyoalnya kembali.
“Terlanjur melakukan hubungan seks haram,” balasnya terus-terang.
“Bagi saya istilah terlanjur itu tidak tepat.”
“Apa istilah yang lebih tepat?”
“Berzina!” jawab saya pendek.
Lelaki itu kehairanan lalu mencebik seraya berkata, “kasar sangat bunyinya tu. Nanti remaja yang terlanjur takut.”
“Mereka tidak akan takut. Mereka berani. Sebab mereka beranilah mereka berzina.”
“Lagi-lagi awak gunakan istilah zina. Kasar sangat bunyinya tu.”
“Itu istilah yang tepat. Itu istilah Al Quran. Jika digunakan ada impak pada pendengarnya. Kita teringat Allah, Al Quran, iman dan Islam.”
Dia diam. Tetapi riak mukanya jelas seakan tidak bersetuju.
“Saya rasa istilah terlanjur itu yang tidak tepat,” saya pula yang menerjahnya.
“Eh, kenapa? Memang mereka terlanjur. Mereka tidak tahu akibat perbuatan mereka.”
Saya tersenyum. Lucu. Kenyataan yang separa logik.
“Zina tidak berlaku tiba-tiba. Ia didahului oleh mukadimah-mukadimahnya,” balas saya.
“Ai, zina pun ada mukadimahnya?”
“Itulah perkara-perkara atau perbuatan-perbuatan yang boleh membawa zina. Zina itu adalah hasil daripada satu proses yang berlaku satu demi satu. Tingkat demi tingkat.”
“Saya tak faham. Cakap awak berbelit-belit!”
“Saya hanya menerangkan apa yang telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w.” jawab saya pendek.
“Kita jangan libatkan agama. Ini masalah sosial,” katanya terus-terang.
“Saya dan awak orang Islam. Islam tu cara hidup. Dan Nabi Muhammad adalah teladan ikutan kita bersama.”
“Baik-baik. Teruskan…”
“Zina itu ada mukadimahnya. Antaranya, pandangan mata, lidah yang berkata-kata, sentuhan tangan, deria bau melalui hidung dan akhir sekali barulah melibatkan kemaluan.”
“Ok. Apa maksud awak?”
Saya renung matanya. Dia bukan orang awam biasa. Dia seorang intelektual yang sering membentangkan kertas kerja tentang masalah sosial remaja di seminar-seminar di IPT.
“Zina dimulakan dengan pandangan. Pandangan mata sangat mempengaruhi hati. Bila pendedahan aurat berleluasa, remaja sukar menjaga mata. Bila ada yang mendedahkan, ramai pula yang melihatnya dan dari situ timbullah rangsangan…”
“Habis awak nak semua wanita tutup aurat? Mustahil!” balasnya.
“Ya, saya akui agak sukar. Tetapi itu tidak mustahil. Bukankah ini ajaran Islam? Islam itu ajaran yang praktikal dan sesuai untuk semua zaman dan keadaan. Remaja perempuan tutup aurat. Remaja lelaki tundukkan pandangan. Jadi, satu proses ke arah zina telah diatasi. Ini yang dilakukan oleh generasi sahabat, tabiin dan salafussoleh dahulu.”
“Itu dulu. Langit masih tertutup, sekarang langit sudah terbuka!”
“Bukan masalah langit, terbuka atau tidak. Tetapi yang lebih penting hati kita mesti terbuka untuk menerima panduan Islam kerana kita orang yang mengaku beriman kepada Allah dan Hari akhirat.”
“Lagi-lagi akhirat. Sekarang kita bercakap soal dunia. Masalah dunia. Kita di sinilah, bukan di sana.”
Tanpa sedar terasa seakan-akan hendak saya gelengkan kepala. Mujur saya cepat sedar dan hanya mengerling mata.
“Tuan, keyakinan kepada hari akhirat sangat penting ketika kita hidup di dunia.”
“Fasal apa pula?”
“Sebab orang yang yakin kepada hari Akhirat akan mengatur hidupnya dengan keyakinan bahawa setiap perbuatannya akan diberi pembalasan oleh Allah di akhirat. Ada pahala, ada dosa. Ada syurga, ada neraka. Itulah kawalan dari dalam dirinya untuk tidak melakukan kejahatan sama ada di hadapan atau di belakang orang!”
“Kembali kepada topik asallah. Saya tidak suka meleret-leret,” pintasnya agak kasar.
“Zina sentuhan pula ialah pergaulan bebas. Bila dipandang, tergerak untuk disentuh. Islam menyekat pergaulan bebas lelaki wanita. Tidak boleh bergaul sesuka hati apatah lagi sampai ke peringkat berdua-duaan tanpa mahram.”
Belum sempat dia menyampuk saya menambah lagi, “tetapi pergaulan bebas inilah yang terus digalakkan, dipromosikan dan dijadikan budaya dalam masyarakat kita.”
“Awak nak sekat interaksi dan komunikasi antara wanita dan lelaki? Mustahil!”
“Interaksi yang bagaimana? Komunikasi yang bagaimana? Dalam Islam cukup jelas bagaimana wanita dan lelaki boleh berinteraksi. Dalam pendidikan, dalam perniagaan, dalam perundangan dan lain-lain. Pergaulan tidak disekat, tetapi dikawal. Islam bukan anti pergaulan atau interaksi sosial tetapi menyekat pergaulan bebas tanpa batas yang menjurus kepada perlakuan seks bebas kerana adanya pandangan yang liar dan sentuhan yang di luar batas!”
“Bagaimana awak nak capai semua tu. Itu satu utopia.”
“Bukan satu utopia kalau kita bermula. Di peringkat keluarga kita cuba didik, kawal anak-anak kita. Di sekolah peranan guru-guru pula. Di IPT tentulah orang semacam awak, para pensyarah. Dalam media massa cetak dan elektronik tentulah pihak berkuasa yang memainkan peranan.”:
“Habis awak ingat semua pihak dah tak berperanan?”
“Saya bimbang… Dalam keadaan kita menjerit, melolong dan memekik tentang masalah buang bayi tetapi budaya ‘mukadimah’ zina anehnya terus diperagakan dan dipromosikan. Lihat sahaja media massa kita, kekadang di sebelah cerita buang bayi, ada gambar wanita mendedahkan aurat. Iklan apa sahaja produk, budaya bergaul bebas seperti menari bersama, dating dan bergaul bebas itulah yang diiklankan juga.”
“Awak kolot. Itu kan ada nilai komersial?”
“Saya kasihan remaja masa kini. Mereka hidup di tengah peluang untuk melakukan zina yang begitu besar dan luas sekali. Jalan ke arah zina diperluas. Tetapi jalan ke arah pernikahan halal dipersempit dengan pelbagai syarat dan adat yang tidak relevan dan signifikan.”
“Kita perlu realistik. Kita perlukan kekuatan ekonomi yang ampuh dan kukuh.”
“Dan untuk itu kita perlu membayarnya dengan mengorbankan maruah dan iman anak-anak remaja kita?”
“Sejak tadi saya bercakap macam mana kita nak atasi masalah buang bayi. Itu sahaja. Tetapi awak yang melencong bercakap tentang zina…”
“Tuan, masalah buang bayi ini produk kepada masalah zina. Anak yang dibuang itu hasil zina. Cegah zina, selesailah masalah buang bayi. Dan nak cegah zina perlu dicegah dulu mukadimah-mukadimah zina. Ini bukan pendapat saya. Tetapi ini ditegaskan oleh Allah dalam Al Quran apabila Allah memberi amaran dan peringatan, jangan kamu hampiri zina!”
“Awak dah mula emosi. Janganlah emosional.”
“Tuan, jika saya salah kerana beremosi. Tuan juga salah kerana tidak beremosi. Sayang, cintakan umat, membenci kemungkaran adalah soal perasaan. Ini soal hati. Ini berkait dengan iman. Tidak ada iman bagi mereka yang melihat kemungkaran tanpa rasa benci!”
“Islam menyuruh kita membenci?”
“Benci kepada kemungkaran bukan kepada yang melakukannya! Pada yang melakukannya kita perlu berdakwah, memberi didikan, memberi alternatif, dengan penuh kasih sayang dan hikmah.”
“Kalau iman kita kuat, apa sahaja yang di luar tidak mempengaruhi dalaman kita. Kita ada sistem penapis dalam atau ‘self censord’. Kita tidak perlu sekatan mahu pun kawalan.”
“Betul kah iman kita kuat? Betul kah iman remaja kita kuat? Dan satu lagi, betulkah orang yang mempunyai iman yang kuat tidak perlukan kawalan dan peraturan? Sekuat-kuat iman pun masih perlukan syariat. Bahkan mematuhi syariat itulah bukti orang beriman.”
“Apa awak cakap ni?”
“Maksud saya, benarkah iman kita kuat? Mana program yang membina iman? Memang ada sedikit, tetapi ditenggelamkan oleh program hedonisme yang berlambak-lambak. Iman itu ada bajanya, ada racunnya. Kalau kita menabur racun manakan tumbuh pohonnya, apatah lagi buahnya? Bahkan benihnya yang sedia ada pun boleh mati.”
“Banyak sangat perlambangan!”
“Dan orang yang kuat iman sekalipun masih diwajibkan mematuhi syariat atau peraturan Islam. Rasulullah s.a.w, manusia yang paling kuat iman, namun semasa menerima bai’ah daripada kaum wanita baginda sendiri tidak bersalaman dengan mereka. Isteri-isteri Rasulullah kuat iman, tetapi mereka tetap menutup aurat dan sangat menjaga pergaulan mereka sekalipun dengan sahabat-sahabat Rasulullah yang juga kuat imannya.”
“Itu sejarah.”
“Bukan. Itu bukan hanya sejarah. Sejarah itu adalah ibrah. Untuk dikaitkan dengan masa kini dan dijadikan teladan. Kita jangan gunakan akal semata-mata, tetapi gunakanlah akal dengan suluhan wahyu dan sunah.”
“Awak sindir saya?”
Tanpa memberi respons pada provokasinya saya meneruskan, “saya masih ingat dengan akal fikiranlah, dulu ada idea yang menyarankan kita agar tidak menutup pintu langit. Jangan sekat akses itu dalam Internet. Cukup dengan iman masing-masing untuk menapis pornografi. Tetapi sekarang ada idea yang menyarankan perlu disekat akses Internet yang berunsur pornografi. Masalah manusia moden bukan tak pandai… tetapi memandai-mandai.”
“Bagaimana pandangan awak tentang sekolah remaja hamil?” tiba-tiba dia pula yang mengalih tajuk perbualan.
“Baguslah. Tetapi saya tidak berminat membuang sampah di hilir atau muara sungai sedangkan ada pihak yang terus membuang sampah di hulunya!”
“Apa maksud awak?”
“Betul, remaja hamil anak zina perlu dilindungi dan dididik. Tetapi remaja yang belum hamil dan belum dinodai lebih ramai lagi di luar sana. Ramai yang bakal menjadi mangsa jika sikap dan budaya ‘mukadimah’ zina terus disuburkan. Apa gunanya kalau kita hanya mengubat akibat, jika puncanya terus dibiarkan malah diperagakan? ”
“Jadi awak setuju atau tidak?”
“Itu soalan kemudian. Yang pertama atau utama, saya ingin menyoal awak. Awak setuju atau tidak semua mukadimah zina yang ada ini dicegah? Dalam Islam kaedah ini dinamakan ‘saddus zaraik’. Kempen tutup aurat, kempen anti pergaulan bebas dan kempen mengerjakan solat perlu diperhebat! Ini kempen ‘buka hati’ untuk hadapi langit terbuka!”
“Ei, ada kempen solat juga?”
“Ya Allah, bukankah solat mampu mencegah kemungkaran? Cuba lihat statistik berapa ramai remaja yang meninggalkan solat? Ada kajian dulu yang saya dengar sudah di tahap 80% umat Islam sudah tidak solat. Remaja kita bagaimana? ‘Retua’ yang mendidik remaja pula bagaimana?”
“Wah, awak nak cakap tentang solat pula…”
Saya diam. Berdoa. Betapa ramainya umat Islam yang tidak memahami, menghayati dan mengamalkan serta memperjuangkan agamanya. Padahal ajaran Islam itu berkait antara satu sama lain. Ada kesan berangkai yang jika diamalkan, ada kesan baik kepada bidang yang lain. Dan ada kesan buruk secara berangkai bila salah satu ajarannya ditinggalkan. Justeru, Allah telah memberi peringatan: Masuklah Islam secara keseluruhan!
Soalnya, apakah kita sudah Islam seluruh, sepenuh? Langit sejak dulu telah terbuka dengan turunnya wahyu, bukankah Islam itu agama samawi? Tetapi hati kitalah yang tertutup untuk menerima cahayanya. Apa gunanya langit terbuka, jika mata hati tertutup?
Hasilnya, hati dan diri kita tetap gelap dalam limpahan cahaya!

PENANGAN ‘AIR TANGAN’

air-tanganMasakan ibu adalah masakan yang paling sedap. Begitu selalunya dikatakan orang. Realitinya pun begitu. Percayalah seorang anak akan sentiasa merindui masakan ibunya jika terpisah sekian lama. Rindu masakan ibu yang sukar ditandingi. Walaupun si anak mungkin pernah menjamah makanan yang lebih mahal, eksotik dan sebagainya tetapi manakan sama masakan ibu. Mengapa?

Kata orang, itulah penangan ‘air tangan’. Memasak melalui pelbagai proses daripada menyiang, membasuh, menggaul, menguli dan lain-lain aktiviti yang kebanyakannya melibatkan sentuhan tangan secara langsung. Tangan tukang masaklah yang paling banyak menyentuh makanan. Jadi, dalam masakan ibu, air tangannyalah yang paling banyak ‘terlarut’ bersama bahan-bahan masakan.

Benarkah air tangan itu yang memberi kelazatan pada makanan yang dimasak. Benarkah begitu? Hakikatnya, itu bukan sebabnya. Air tangan yang dimaksudkan bukanlah ‘air’ dalam erti kata yang fizikal dan material. Air tangan sebenarnya ialah aliran kasih sayang, kesungguhan, keceriaan dan ketulusan hati seorang ibu yang memasak untuk anaknya. Hati itulah yang mengalirkan ‘air tangan’. Jadi, air tangan pada hakikatnya ialah aliran kasih-sayang semasa ibu memasak untuk anaknya.

Pakar motivasi dan psikologi sepakat menegaskan bahawa orang yang melakukan satu kerja dengan penuh kasih-sayang, ceria dan tulus, hasil kerjanya akan berkualiti. Dorongan kerjanya bukan untuk ‘mendapat’ tetapi untuk ‘memberi’. Seorang ibu yang memasak adalah didorong untuk ‘memberi’ kasih-sayang kepada anaknya, berbanding seorang ‘chef’ yang memasak atas dorongan ganjaran komersial.

Justeru semakin ikhlas, ceria dan kasih seseorang pada pekerjaannya dan kepada siapa dia tujukan atas kerjanya itu, maka semakin tinggilah kualiti kerja tersebut. Dan semakin kurang keikhlasan, keceriaan dan kasih seseorang semasa melakukan kerjanya, maka semakin rendahlah kualiti dan produktiviti kerja tersebut.
Realitinya, ‘air tangan’ bukan hanya ada pada kerja memasak. Ia ada dalam setiap jenis pekerjaan. Ia adalah aliran kasih sayang dan kecintaan yang seharusnya mengalir dalam setiap pekerja, pemimpin, guru, imam, jurutera, doktor, jururawat sehingga seorang buruh kasar. Setiap individu Muslim, wajar bekerja kerana Allah untuk berkhidmat sesama manusia. Seorang yang paling kasihkan Allah, dialah yang paling kasihkan manusia dan orang seperti inilah yang paling tinggi kualiti kerjanya.

Falsafah di sebalik ‘air tangan’ inilah saya kira dapat merealisasikan dorongan Rasulullah saw agar setiap kita memperelokkan kerja menerusi sabdanya:
“Bahawasanya Allah s.w.t suka apabila seseorang darikamu membuat sesuatu kerja, dia memperelokkan kerjanya “

Monday, November 1, 2010

‘ISLAMOPHOBIA’ MUSLIM

“Kenapa orang bukan Islam sangat sukar untuk memahami Islam?” tanyanya pemuda itu dengan nada kesal.
“Sebab orang Islam sendiri gagal memahamkan mereka,” jawab saya perlahan.
“Kenapa orang Islam gagal memahamkan bukan Islam tentang Islam?”
“Sebab orang Islam sendiri tidak faham Islam!”

“Apa bukti kata-kata awak ni?”
“Buktinya jelas. Lihat sahaja dalam realitinya, apakah masyarakat Islam pada hari ini selamat dan menyelamatkan.”
“Kenapa ke situ pula arah percakapan awak?”
“Sebab Islam itu bererti selamat. Bukan sahaja selamat bahkan mampu menyelamatkan. Maka sudah tentulah secara logiknya umat Islam adalah umat yang paling selamat dan dapat menyelamatkan orang lain.”

“Tetapi realitinya tidak begitu kan?”
“Awak boleh lihat dengan mata kepala sendiri. Kita mundur di semua sudut,  samada rohani mahupun jasmani.”
“Maksud awak di dunia antarabangsa?”
“Tak payah. Lihat sahaja di negara kita. Siapa yang terlibat dalam gejala sosial? Siapa yang paling ramai di Pusat Serenti? Siapa yang ketinggalan di bidang ekonomi? Ya, bangsa Melayu Islam,” kata saya.

“Awak jangan silap, kelemahan umat Islam bukan bererti kelemahan Islam.”
“Benar. Tetapi umat Islamlah yang menyebabkan berlakunya Islamophobia. Umat Islam yang tidak amalkan Islam secara sepenuh dan menyeluruh,”balas saya.
“Musuh ambil kesempatan memburuk-burukan Islam atas kelemahan umat Islam. Mereka yang salah.”
“Jangan salahkan orang lain kalau kita sendiri membuka peluang untuk diperlakukan demikian.”

“Jadi, bagaimana nak atasi Islamophobia?”
“Di kalangan siapa, umat Islam atau bukan Islam?” bidas saya.
“Tentulah di kalangan bukan Islam. Contohnya, Barat merekalah yang menuduh kita mundur, ganas, berpecah-belah dan militan.”
“Bagi saya kita perlu laksanakan strategi serampang dua mata.”

“Macam mana pula tu?”
“Kita perlu perjelaskan dan amalkan Islam yang sebenar di kalangan umat Islam. Itu yang penting.”
“Bagaimana dengan bukan Islam?”
“Insya-Allah umat Islam yang faham Islam dan mengamalkannya merupakan hujah yang kuat untuk menolak Islamophobia.”

“Kenapa?”
“Selamanya manusia mempercayai matanya daripada telinga. Actions speaks louder than word.”
“Eh, tak faham pula saya.”
“Kita mesti amalkan Islam yang boleh dilihat. Bukan sahaja cakap-cakap tentang Islam yang hanya enak didengar.

“Apakah amalan Islam kita sekarang belum cukup?”
“Belum cukup dan belum sempurna,” kata saya lagi.
“Jangan ekstrim. Berpada-padalah. Bersederhana.”
“Kita belum amalkan Islam yang sedehana. Kita masih di bawah paras sederhana.”
“Awak ni… Buar betul. Ukuran mana yang awak pakai?”

“Siapakah yang paling sederhana mengamalkan Islam?”
Pemuda itu terdiam.
“Role model individu yang paling sederhana mengamalkan Islam ialah Rasulullah s.a.w. Bagindalah yang pernah bersabda, sebaik-baik urusan adalah yang pertengahan. Justeru, bagindalah orang pertama mengamalkan apa yang diperkatakannya.”
“Ikut Nabi… susahlah.”
“Bagindalah ikutan dalam kita mengamalkan kesederhanaan Islam. Bagindalah Quran hidup yang mengamalkan prinsip-prinsip kesederhanaan dalam  Al Quran.”

“Maksud awak konsep wasatiyah?”
Wasatiyah dalam seluruh sistem hidup. Daripada persoalan ibadat, muamalat, munakahat dan jinayat. Yang merangkumi soal akidah, syariah dan akhlak.”
“Siapa yang mampu buat begitu?”
“Para sahabat, salafussoleh dan orang-orang mukmin daripada dahulu sehingga sekarang. Mereka adalah golongan sederhana yang mengikuti Rasulullah saw, insan yang paling sederhana.”

Melihat dia diam, saya menambah lagi, “lihat bagaimana iman, solat, ekonomi, ketenteraan dan seluruh cara hidup mereka. Itulah model kesederhanaan yang direhai Allah. Selain itu masih dikira ekstrim, samada ekstrim yang liberal atau ekstrim yang fanatik.”
“Bagi saya sedehana itu adalah mengamalkan Islam yang tidak menimbulkan ketakutan dan keresahan. Kita dilihat mampu menyesuaikan diri dengan keadaan yang majmuk dan pelbagai.”
“Saya setuju dengan pandangan awak. Lihat apa yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w. Baginda mampu menghadapi dan menangani cabaran masyarakat majmuk di Madinah.”

“Kita perlu diplomasi.”
“Diplomasi yang tidak menggadaikan hukum dan peraturan Allah.”
“Contohnya?”
“Apabila kita makan, kita memilih yang halal, menolak yang haram dan syubhat. Itu sederhana. Bila kita berpakaian, kita menolak pakaian mendedahkan aurat, itu sederhana. Bila berekonomi, kita menolak riba dan penzaliman. Itu sederhana. Apabila…”
“Cukup-cukup. Itu semua berlaku di kalangan umat Islam bukan? Bukan itu sasaran saya. Sasaran saya ialah Islamophobia di kalangan bukan Islam.”

Saya hampir menggeleng-gelengkan kepala. Betapa sukar untuk meyakinkan bahawa Islamophobia di kalangan bukan Islam boleh diatasi jika kita berusaha mengatasi Islamophobia dikalangan umat Islam sendiri.
“Cuba awak fokus sedikit kepada bukan Islam.”
“Ya. Saya teringat apa yang dinukilkan oleh Dr Yusuf Al Qardhawi mengenai ucapan seorang intelektual yang baru memeluk Islam…”
“Ya, itulah yang saya nak dengar!”
“Kata intelektual itu, subhanallah yang mengenalkan aku kepada Islam terlebih dahulu sebelum aku mengenal orang Islam.”
“Pelik bunyinya?”

“Tak pelik sebenarnya. Maksudnya, mujur dia memahami ajaran Islam yang begitu indah, sempurna dan praktikal secara ilmiah terlebih dahulu. Hingga dengan itu hatinya terbuka untuk memeluk Islam. Justeru, sekiranya dia terlebih dahulu mengenal perangai dan sikap orang Islam yang buruk, maka dia tidak akan tergerak untuk memeluk Islam. Maka dia memuji Allah atas rahmat itu!”
“Tetapi ramai juga orang yang tertarik kepada Islam kerana umat Islam betul tak?”
“Betul. Tetapi umat Islam yang bagaimana? Tentulah umat Islam yang mengamalkan Islam.”
“Hish, fokus awak masih kepada orang Islam. Itu bukan sasaran saya.”

“Saudara, memang benar kita akan ditanya oleh Allah mengapa tidak berdakwah yakni memberi penjelasan tentang Islam yang sebenar kepada bukan Islam… tetapi Allah tentunya akan lebih bertanya kepada kita apakah kita telah amalkan Islam yang telah kita akui kebenaran dan kesempurnaannya ini. Bukankah kita bertanggung jawab menyelamatkan diri kita dan keluarga kita daripada api neraka terlebih dahulu? Bukankah motto dakwah kita adalah perbaiki diri dan serulah orang lain?”
Dia terdiam.

“Jadi awak enggan berusaha mengatasi Islamophobia dikalangan bukan Islam?”
“Saya menyokong. Fitnah yang melanda Islam dan umat ini perlu ditangani dengan serius. Ia satu dakwah dan jihad yang utama.”
“Tetapi awak macam skeptik sahaja…”
“Bukan begitu. Saya merasa kita perlu juga baiki dan sempurnakan kefahaman dan amalan Islam dikalangan umat Islam, sekaligus kita perjelaskan Islam yang kita fahami dan amalkan itu kepada bukan Islam. Mari kita amalkan cara hidup Islam yang syumul tanpa memilih-milih mengikut hawa nafsu kita.”

“Mengikut nafsu?”
“Ya, kekadang yang ada yang sesuai kita ikut. Tetapi ada yang kita rasa tidak sesuai kita pinggirkan. Saya teringat ancaman Allah dalam Al Quran tentang golongan yang beriman dengan sebahagian isi kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain. Mereka itu dijanjikan dengan kehinaan ketika hidup di dunia dan akan dilemparkan ke neraka.”
“Awak mengancam.”
“Tidak, ini mengingatkan kerana kasih-sayang. Saya pun lemah. Tetapi jika kita sama-sama berusaha, kita akan saling kuat menguatkan.”

“Kalau begitu, boleh tak kita jangan bercakap tentang neraka?”
“Mengapa?”
“Itu menakutkan. Kita bincang soal yang harmoni.”
“Saya tidak faham apa yang awak maksudkan dengan ajaran Islam yang harmoni. Tetapi soal neraka dan syurga ini adalah soal iman. Ia adalah perkara pertama dan utama yang ditekankan oleh nabi Muhammad saw di peringkat awal perjuangannya.”
“Awak menakutkan orang bukan Islam.”
“Maaf saudara, saya sedang berhadapan dengan saudara… orang Islam. Kita perlu bercakap soal iman, kerana tanpa Iman, Islam akan hanya ada di fikiran dan lisan bukan di hati dan amalan.”
“Bukan begitu, tapi soal ini perlu dikemudiankan…”

Saya terdiam. Oh, betapa ramainya orang Islam yang mengukur kesederhanaan Islam mengikut ‘kesederhanaan’ nafsu. Bukan lagi merujuk kepada sejarah pengalaman Islam oleh Rasulullah saw dan para sahabatnya yang merujuk kepada kesederhanaan wahyu!

MAZHAB YANG PALING POPULAR

KELUAR DARI MAZHAB KING MIDAS!
Berkrisis tentang mazhab? Entahlah, kerana hati kita yang kotor agaknya, perbezaan yang sewajarnya menjadi rahmat bertukar juga menjadi bencana. Padahal bukan semua perbezaan adalah satu pertentangan, jika kita pandai menguruskan perbezaan, ia akan menjadi satu keindahan dan kesempurnaan. Telah berkali-kali ditegaskan bahawa berbeza pendapat bukan masalah tetapi SIKAP kita dalam berbeza pendapat itu yang sering menimbulkan masalah.
Padahal jika diamat-amati, terlalu banyak hal yang kita telah sependapat. Hanya sedikit yang berbeza. Yang sama itu pun kekadang tidak atau belum lagi dilaksanakan, diamalkan dan diperjuangkan. Contoh, riba, tutup aurat, pergaulan bebas, arak, judi dan lain-lain… sudah sepakat kita yakini haram. Tak kira apa mazhab, tidak kira apa aliran, salafi, suni, wahabi dan segala macam… tidak ada yang mengatakan itu halal. Tetapi bagaimana pelaksanaan kita?
Begitu juga perkara-perkara yang halal dan wajib. Ambil contoh sahaja solat…semua aliran dan mazhab menetapkan itu WAJIB. Tetapi bagaimana pelaksanaannya? Sedih, mengikut kajian (yang dikemukakan oleh Datuk Fadillah Khamsah) sudah 80% umat Islam Melayu Malaysia tidak sembahyang. Sepatutnya, pada perkara-perkara yang telah disepakati HARAM dan HALAL inilah yang kita fokuskan untuk berdakwah, mendidik dan akhirnya mengamalkan atau mencegahnya.
Mengapa ini berlaku? Ya, ini gara-gara penangan satu ‘mazhab’ lagi yang menjadi pegangan kebanyakan manusia Islam tidak kira dia itu dari mazhab Maliki, Safie, Hanbali, Hanafi, Sunni, Wahabi, Salafi dan sebagainya… ya mazhab KING MIDAS. Inilah ‘mazhab’ yang menjadi penyebab kepada penyakit Al Wahan – cinta dunia dan takut mati, yang sangat dibimbangi oleh Rasulullah saw kepada umat Islam akhir zaman.
Justeru, pada hari Jumaat yang mulia mari sama-sama kita renungi satu tulisan yang telah saya paparkan dalam buku Nota Hati Seorang Lelaki. Tulisan yang bertajuk: Keluarlah Dari Mazhab King Midas!
Sewaktu memberikan penjelasan tentang persoalan nilai dalam kursus ‘Mukmin Profesional’, saya sering mulakan dengan sebuah cerita – perihal King Midas seorang raja yang tamak. Dia mementingkan harta daripada segalanya. Apa yang dibuat, apa yang dinilai, semuanya dari kaca mata ringgit dan permata. Lalu, bila satu ketika diajukan apa permintaan utamanya, dia menyatakan keinginannya agar apa yang disentuhnya menjadi emas. Seorang tukang sihir telah ‘memperkenankan’ permintaannya. Dia sangat gembira. Habis semua yang disentuhnya menjadi emas. Namun kegembiraannya tidak lama.
Sebaik sahaja berasa lapar dan dahaga, alangkah terkejutnya bila makanan dan air yang disentuhnya turut menjadi emas. Dia mula kebingungan. Emas, walaupun sangat berharga masakan boleh menghilangkan lapar dan dahaga. Dan yang paling menyedihkan ialah bila puteri tersayangnya datang untuk bermanja… Puteri itu turut bertukar menjadi emas apabila dia menyentuhnya. King Midas, terkejut… sedih. Pada waktu itu tersedarlah dia bahawa emas bukanlah segala-galanya.
Mungkin ramai beranggapan, cerita King Midas ini hanya dongengan. Ya, benar itu cerita dongeng, tetapi pengajaran daripada cerita itu sangat signifikan dan relevan. King Midas adalah lambang manusia yang sudah kehilangan ‘nilai’ dalam dirinya. Realitinya, betapa ramai manusia yang semazhab dengan King Midas – dari dahulu hingga kini. Bukankah ada di kalangan masyarakat yang sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan ‘emas’ walaupun terpaksa mengorbankan saudara?
Berebut harta pusaka, saudara sendiri dizalimi. Justeru, tamakkan pangkat dan kedudukan, sahabat sendiri rela dikorbankan. Mengapa demikian? Apakah harta itu lebih utama daripada saudara dan sahabat? Semuanya gara-gara ramai manusia yang beranggapan bahawa nilai dirinya bergantung kepada ‘barang-barang’ bernilai yang dimilikinya. Soal ‘siapa saya?’ ditentukan oleh wang bertimbun yang dimilikinya. Seolah-olah ‘aku’ adalah kereta, vila, jumlah saham dan segala aset yang dimiliki. Pendek kata, nilai dirinya diletakkan pada barang-barang bernilai kepunyaannya.
Benar kah nilai kita terletak pada barang-barang bernilai? Hingga dengan nilai itu kita akan mendapat harga diri dan status sosial yang tinggi di mata sendiri dan orang lain. Jika benar, siapa diri kita apabila segalanya itu hilang? Jika rumah terbakar, siapa kita ketika itu? Jika kereta dicuri, apakah harga diri kita turut juga dicuri? Aneh bunyinya bukan? Tak mungkin, harga diri kita terletak kepada semua itu. Tapi, itulah praktik majoriti manusia masa kini – ramai yang menilai diri sendiri dan orang lain berdasarkan pemilikan barang-barang bernilai. Al hasil, kita jadi semakin materialistik dan individualistik.
Pernah saya mendengar sebuah cerita sufi dari Turki – seorang yang bernama Nuruddin Khoja. Dia yang berserban dan berjubah besar pada suatu ketika menaiki keldai memasuki sebuah kampung. Orang kampung mengalu-alukan kedatangannya dan melaung, “ulama, ulama, ulama… ulama sudah datang. Mari kita belajar daripadanya.” Dia hairan lalu bertanya, “mana kamu semua tahu yang aku ini ulama?” Orang kampung itu menjawab, “daripada serban dan jubah yang kamu pakai.” Lalu Nuruddin meletakkan serbannya di atas kepala keldainya dan berkata, “ayuh, belajarlah daripada keldai ini.”
Orang kampung kehairanan dan bertanya, “mengapa kami perlu belajar dari keldai ini?” Nuruddin secara selamba menjawab, “bukankah kamu semua beranggapan bahawa aku seorang ulama hanya kerana aku berserban? Jika demikian keldai ku sekarang telah berserban, maka kamu belajarlah daripadanya.” Sindiran sinis daripada Nuruddin ini sesungguhnya membuktikan bahawa pakaian luaran bukan petunjuk kepada nilai diri kita. Nilai ulama pada ilmu dan akhlaknya, bukan pada serban dan  jubahnya. Tetapi begitulah selalunya, nilaian orang terhadap kita dan nilaian kita terhadap diri kita sendiri. Jika tidak masakan timbul ‘konflik’ kopiah putih vs songkok hitam satu ketika dulu.
Ibn Qayyim Al Jauzi pernah berkata, “tanda seorang mengalami sakit jiwa ialah apabila dia lebih mempercayai kata orang lain daripada suara hatinya sendiri.” Mungkin kata-kata itu terlalu falsafah dan tersirat maknanya. Biarlah saya cuba memudahkan dengan mengaitkannya dengan realiti kehidupan sehari-hari. Sebagai contoh, betapa ramai pasangan suami-isteri yang sudah ‘tidak sehati dan sejiwa’ lagi tetapi bila berdepan dengan masyarakat umum kelihatan begitu romantis. Mereka berpegang tangan, berkepit seiringan, kononnya nanti masyarakat akan menyifatkan mereka pasangan yang bahagia.
Masyarakat yang tidak tahu hakikat sebenar akan berkata, “oh, beruntungnya mereka kerana punya rumah tangga yang bahagia.” Bila komentar yang sedemikian sampai ke telinga pasangan yang ‘tidak bahagia’ itu mereka pun rasa bahagia (walaupun mereka sebenarnya berpura-pura). Alangkah anehnya manusia. Ramai yang rela hidup dalam berpura-pura atas nilai yang mereka tidak ada.
Akibat tersalah pandang tentang nilai yang sebenar, ramai juga yang hilang harga diri tanpa disedari oleh mereka. Apa tidaknya, saya sendiri pernah berdepan dengan seorang ‘isteri kecewa’  sewaktu mengendalikan satu kursus dengan sebuah institusi korporat di Sabah. Seorang suri rumah secara terus terang berkata, “saya rasa perkahwinan memang satu penghambaan.” Ketika ditanya, “mengapa?” Dia berkata, “apa tidaknya? Sekian lama saya bertugas sebagai isteri dan ibu, saya rasa tidak dihargai oleh suami. Sedangkan nilai saya begitu tinggi…”
Pendek cerita, si isteri mula mengeluarkan senarai panjangnya -  menjaga anak sebulan 500 RM, memasak 500 RM, mengemas dan menjaga rumah 300 RM dan macam-macam lagi. Itu baru sebulan, sedangkan dia telah menjalankan tugas itu sudah lebih 20 tahun. Bayangkan berapa ratus ribu RM yang perlu dibayar oleh suaminya jika dia menuntut. Itulah harga dirinya. Saya sedih, melihat dia disia-siakan oleh suaminya. Tetapi dengan cara yang sedemikian dia juga telah mensia-siakan dirinya sendiri. Bukankah sebaik sahaja dia menilai tugasnya mengikut ukuran RM dia hakikatnya sudah menjatuhkan nilai dirinya daripada seorang isteri dan ibu kepada seorang babu dan orang gaji!
Hanya babu atau orang gaji sahaja minta dibayar atas tugas-tugasnya, kerana dia memang bekerja untuk upah. Sebaliknya seorang isteri berbakti kepada suami atas dasar kasih-sayang, tanggung-jawab, amanah dan nilai-nilai lain yang lebih murni dan tinggi. Seorang ibu menjaga dan mendidik anak-anaknya kerana cinta, kasih dan naluri keibuan yang dibekalkan oleh Allah. Begitulah dengan kerja-kerja yang lain, bukan kerana ganjaran tetapi kerana tujuan. Apabila kita digerakkan oleh tujuan, maka tercapailah nilai-nilai yang lebih utama dan suci (end value) berbanding nilai yang rendah dan murah (meen value).
King Midas akhirnya sedar bahawa anak lebih utama daripada emasnya. Jangan pula kita bermati-matian mencari harta hingga terlupa mendidik anak-anak. Ironinya, bila ditanya kenapa mencari harta? Kita akan menjawab, demi anak-anak. King Midas juga sedar bahawa emas tidak akan dapat menggantikan makanan dan minuman. Hendaknya, jangan pula kita sibuk mencari duit hingga terlupa ‘menikmati’ duit. Siang malam berjaga, stres dan tension melanda … demi menimbunkan harta. Bila ditanya untuk apa? Untuk bahagia. Bahagia kah bila sakit menimpa? Jadi, pastikanlah yang mana alat, yang mana matlamat? Mana tujuan, mana keperluan? Jangan hanya memburu nikmat hingga terlupa Pemberi nikmat. Keluar dari mazhab King Midas!

Jangan Mencari Terlalu Sempurna

BUAT PEDOMAN BERSAMA.
Jika kamu memancing ikan.... Setelah ikan itu terlekat di mata kail, hendaklah kamu mengambil ikan itu.... Janganlah sesekali kamu LEPASKAN ia semula ke dalam air begitu saja.... Karena ia akan SAKIT oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan MENDERITA selagi ia masih hidup.

 Begitulah juga .........  Setelah kamu memberi banyak PENGHARAPAN kepada seseorang... Setelah ia mulai MENYAYANGIMU hendaklah kamu MENJAGA hatinya.... Janganlah sesekali kamu meninggalkannya begitu saja.... Kerana dia akan TERLUKA oleh kenangan bersamamu dan mungkin TIDAK dapat MELUPAKAN segalanya selagi dia mengingatmu....

Jika kamu menadah air biarlah berpada, jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh.... cukuplah sekadar keperluanmu.... Apabila sekali ia retak.... tentu sukar untuk kamu menambalnya semula.... Akhirnya ia dibuang....  Sedangkan jika kamu cuba memperbaikinya mungkin ia masih dapat dipergunakan lagi....

 Begitu juga jika kamu memiliki seseorang, TERIMALAH seadanya.... Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa.... Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan KESILAPAN bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya.... akhirnya kamu KECEWA dan meninggalkannya.  Sedangkan jika kamu MEMAAFKANNYA boleh jadi hubungan kamu akan TERUS hingga ke akhirnya....

Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi... yang kamu pasti baik untuk dirimu. Mengenyangkan. Berkhasiat. Mengapa kamu berlengah, cuba mencari makanan yang lain.. Terlalu ingin mengejar kelezatan. Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya. Kamu akan menyesal.

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan..... yang pasti membawa KEBAIKAN kepada dirimu. MENYAYANGIMU... MENGASIHIMU... Mengapa kamu berlengah, cuba MEMBANDINGKANNYA dengan yang lain. Terlalu mengejar kesempurnaan. Kelak, kamu akan KEHILANGANNYA apabila dia menjadi milik orang ain Kamu juga yang akan MENYESAL....

Jangan Sedih Sahabatku..




Kepada semua sahabat-sahabat yang sedang diuji, yang telah diuji & yang belum diuji..sedarilah bahawa jika anda tidak hidup hanya dalam batasan hari ini saja, maka akan bercelarulah fikiran Anda, akan kacaulah semua urusan, dan akan semakin menggununglah kesedihan dan kegundahan diri .. sahabatku...

01.Jangan Bersedih kerana cinta keduniaan... Cinta Allah dan Rasulullah Menjamin Kebahagiaan..

02.Jangan Bersedih bile ditimpa musibah... Redha Dengan Anugerah Allah Membuat Anda kaya di Dunia..

03.Jangan Bersedih kerana kamu banyak berdosa kepada-NYA ... Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat serta Rahmatnya yang Maha Luas..

04.Jangan Bersedih kerana kelemahan anda... Semata-mata disebabkan Anda Berbeza dengan Orang lain kerana setiap kejadian Allah itu ada kelebihan tersendiri..

05.Jangan Bersedih ... Bila Disakiti, Dicela, Direndahkan atau Dizalimi kerana setiap perkara yang berlaku adalah dugaan dari Yang Maha
Esa 


06.Jangan Bersedih bile kamu ditimpa kesusahan... Sesungguhnya Setelah Kesusahan Akan Ada Kemudahan 

07.Jangan Bersedih kerana anda kalah dan tewas dalam perjuangan... Kerana Kesedihan Anda akan Membuat Musuh Anda Gembira 

08.Jangan Bersedih... Atas Perilaku Manusia Terhadapmu Tetapi Perhatikanlah Perilaku Mereka Terhadap Allah..

09.Jangan Bersedih... Allah Tidak Akan Mensia-siakan Pengorbananmu dan setiap perkara yang baik mahupun buruk ada hikmahnya..


Wahai sahabat-sahabat ku, janganlah bersedih, Dunia ini terlalu hina untuk ditangisi... ALLAH S.W.T tidak suke pade manusia yg mudah putus asa,trutama sekali mereka yg putus asa dgn nikmat dan rahmat -NYA.. berusaha dan berdoa lah kamu kepada YANG MAHA ESA.. Sesungguhnya memohon doa kepada YANG MAHA ESA membuatkan kite rase rendah diri dgn PENCIPTA kite kerana kepada- NYA,kite akan kembali... WALLAHUALLAM ~